Sebut sahaja 'Krismas', secara automatik kita membayangkan Santa Claus, Pokok Krismas, Salju, hadiah dan beberapa benda-benda yang sering dikaitkan dengan Krismas. Tanpa mengetahui simbolik daripada amalan-amalan ini kita dengan seronoknya mengikuti tradisi ini. Bahagian yang seterusnya ini akan membincangkan mengenai amalan dan tradisi semasa Krismas.
Santa Claus
St. Nicholas lahir pada tahun 280M di Patara ibukota Lycia suatu tempat di Asia Minor. Beliau menjadi pemberi hadiah kepada kota Myra. Beliau akan memberikan hadiah pada waktu malam, supaya identiti tidak akan diketahui.
St. Nicholas merupakan seorang paderi Kristian seterusnya menjadi uskup. Beliau seorang yang kaya dan sering melawat ke tempat-tempat tertentu untuk membantu masyarakat dengan memberikan hadiah. Beliau tidak mahu dilihat semasa memberikan hadiah, jadi kanak-kanak akan diarahkan untuk tidur awal.
Cerita yang paling terkenal mengenai St. Nicholas adalah mengenai seorang bapa yang miskin dan tidak mempunyai duit untuk diberikan semasa perkhawinan 3 orang anak perempuannya. St. Nick meletakkan emas dalam stokin yang diletakkan oleh anak-anaknya berhampiran dengan pendiang untuk dikeringkan. Adik beradik tersebut menjumpai emas berkenaan dan sejak itu, kanak-kanak menggantungkan stoking semasa malam Krismas dengan harapan aka nada hadiah dalam stoking itu pada pagi Krismas.
Pada tahun 303, Kaisar Diocletian mengarahkan semua rakyat dalam empayar Rom termasuk Asia Minor untuk menyembahnya sebagai tuhan.
penganut Kristian percaya kepada Satu Tuhan dan hanya Satu Tuhan, jadi mereka tidak menuruti perintah Kaisar tersebut. Marah dengan kedegilan mereka, Diocletian memberi amaran akan memenjarakan sesiapa yang berdegil. Kaisar melaksanakan perintah tersebut dan memenjarakan semua orang yang tidak menurut termasuk St. Nicholas (paderi). Selama 5 tahun, St. Nicholas dipenjarakan, menderita kesejukan, kelaparan, dan dahaga namun beliau tidak berundur daripada kepercayaannya. Pada 313, apa Diocletian meletakkan jawatan, dan diganti oleh Konstantin Nicolas telah dibebaskan. Dia kembali ke Myra dan meneruskan pelayanannya sebagai uskup. Dia meneruskan pelayanannya dan menjadi lebih bijak dan lebih memahami sehingga kematiannya pada 6 Disember 343.
Pada pandangan Katholik, santa adalah seseorang yang melakukan perkara-perkara suci semasa hidup, selepas kematiannya akan pergi ke syurga,dan dia akan masih dapat menolong manusia di dunia. Mereka akan menjadi pelindung kepada pelbagai kumpulan manusia – misalnya kanak-kanak dan banyak legenda timbul untuk menerangkan kehadirannya (contoh: Santa pelindung untuk Rusia, Santa pelindung untuk pelaut(Greece), pelindung peguam (Perancis), serta pelindung kanak-kanak dan pengembara (Belgium) . Menjelang tahun 450, gereja-gereja di Asia Minor dan Greek dinamakan sempena nama beliau. Beliau juga diakui sebagai seorang santa oleh Eastern Catholic Church.
Pada 6 Disember tahun 1200 telah disambut sebagai Hari Uskup Nicholas di Perancis. Menjelang akhir tahun 1400, St. Nicholas merupakan tokoh agama yang ke-3 selepas Yesus dan Maria.
Pada tahun 1500 masyarakat di England berhenti memuja St. Nicholas dan memperkenalkan tokoh pemberi hadiah Krismas yang lain. Selama berabad-abad, popularity St. Nicholas meningkat dan banyak cerita dihasilkan untuk menunjukkan perhatiannya kepada kanak-kanak. Nama Santa Claus berasal daripada sebutan Belanda bagi St. Nicholas, Sinter Klass. Orang Belanda yang terawal menetap di New York membawa tradisi St. Nicholas. Sementara kanak-kanak daripada Negara lain cuba menyebut Sinter Klass, seterusnya menjadi Santa Klass, dan akhirnya Santa Claus.
Lama sebelum kemunculan Kristian, tumbuhan dan pokok yang kekal hijau sepanjang tahun sangat bermakna semasa musim sejuk. Masyarakat zaman dahulu menggantungkan dahan pohon hijau di pintu dan tingkap mereka. Di kebanyakkan tempat dipercayai bahawa kehijauan akan menghalau kuasa jahat dan penyakit.
Di hemisfera Utara, hari yang pendek dan malam yang panjang berlaku pada 21 Disember atau 22 Disember dan dipanggil sebagai Soltis Musim Sejuk. Kebanyakkan masyarakat zaman dahulu percaya bahawa matahari adalah tuhan dan musim sejuk akan berlaku setiap tahun kerana tuhan matahari jatuh sakit dan lemah. Mereka merayakan soltis sebagai simbolik tuhan matahari telah mula sembuh. Dahan pohon hijau mengingatkan mereka kepada semua tumbuhan hijau yang akan tumbuh semula apabila tuhan matahari sembuh dan musim panas kembali.
Mesir purba menyembah tuhan yang dipanggil Ra, berkepala rajawali dan memakai matahari menyelebungi makhotanya. Semasa soltis, apabila Ra mula sembuh daripada penyakitnya, orang Mesir akan memenuhi rumah mereka dengan tumbuhan hijau sebagai lambang kemenangan hidup ke atas kematian.
Rom awal menyambut soltis dengan pesta yang dipanggil Saturnalia untuk menghormati Saturn, tuhan tanam-tanaman. Orang Rom tahu bahawa soltis membawa kepada ladang dan kebun yang hijau dan berbuah.Sebagai memperingati peristiwa ini, mereka menghias rumah dan tempat ibadah mereka dengan daun-daun/dahan hijau.
Di Eropah Utara Druid, seorang paderi kepada masyarakat Kelt kuno, juga menghias tempat ibadah mereka dengan pohon hijau sebagai symbol kepada hidup kekal. Suku Viking di Skandinavia percaya bahawa tumbuhan hijau merupakan tanaman istimewa tuhan matahari, Balder.
Tradisi pokok Krismas dimulakan pada abad ke-16 apabila orang-orang Kristian di Jerman membawa pokok berhias ke dalam rumah mereka. Sebahagian membina pyramid Krismas diperbuat daripada kayu dan menghiasnya dengan daun-daun hijau dan lilin. Dipercayai bahawa Martin Luther, tokoh reformasi Kristian pada abad ke-16 merupakan orang yang pertama meletakkan lilin di pokok Krismas. Beliau mendapat idea untuk meletakkan lilin di pokok Krismas semasa beliau berjalan balik ke rumahnya pada suatu petang di musim sejuk, beliau terpegun dengan kelipan bintang di antara pokok-pokok hijau.
Christmas Carols
Nyanyian pujian (carol) telah lama dinyanyikan di Eropah beribu tahun dahulu, tetapi bukannya Nyanyian Krismas. Lagu yang dinyanyikan ialah lagu kafir sempena perayaan soltis musim sejuk sementara orang-orang pada masa itu menari dalam suatu pusingan. Perkataan 'Carol' sebenarnya bermaksud: tarian atau lagu pujian dan kesukaan.
Selepas Krismas diperkenalkan, lagu-lagu Kristian dinyanyikan untuk mengganti lagu-lagu kafir sebelum ini. Pada tahun 129, Uskup Rom mengatakan lagu 'Angel's Hymn' patut dinyanyikan semasa kebaktian Krismas di Rom. Satu lagi nyanyian pujian Krismas yang ditulis pada tahun 760 oleh Comas dari Jerusalem kepada Gereja Orthodoks Greek. Sejurus itu ramai komposer seluruh Eropah mula menulis lagu Krismas. Walaubagaimanapun, tidak semua orang menyukai lagu-lagu tersebut kerana ianya ditulis dalam bahasa Latin, bahasa yang orang biasa tidak fahami. Menjelang zaman pertengahan (1200), kebanyakkan orang kurang berminat menyambut Krismas bersama.
Hal ini berubah apabila St. Francis dari Assisi pada tahun 1223 memulakan drama yang menceritakan tentang kelahiran Yesus di Itali. Pelakon yang terlibat dalam drama itu akan menyanyi untuk menceritakan tentang kelahiran Yesus semasa drama tersebut. Kadang kala, lagu yang dinyanyikan adalah dalam bahasa Latin; tetapi biasanya akan dinyanyikan dalam bahasa dimana penonton akan faham dan ikut serta. Lagu Krismas tersebar ke Perancis, Sepanyol, Jerman dan Negara Eropah yang lain.
Mistletoe telah digunakan 200 tahun sebelum kelahiran Yesus oleh ketua agama Druid untuk perayaan musim sejuk mereka. Mereka memuja tumbuhan ini kerana walaupun tidak mempunyai akar tetapi akan kekal hijau semasa musim sejuk.
Bangsa Kelt kuno percaya mistletoe mempunyai kuasa penyembuhan ajaib dan digunakan sebagai penawar kepada keracunan, kemandulan dan untuk menghalau kuasa jahat. Tumbuhan ini juga dilihat sebagai symbol damai.
Bangsa Skandinavia mengaitkan tumbuhan ini dengan Frigga, tuhan kasih.
Poinsettia (Euphorbia pulcherrima)
Tumbuhan tempatan Mexico ini dinamakan sempena nama duta U.S ke Mexico, Joel R. Poinsett yang membawa tumbuhan ini kembali ke Amerika pada 1828. Sebuah legenda mengatakan bahawa ada seorang kanak-kanak Mexico, menyedari bahawa dia tidak membawa hadiah untuk bayi Yesus semasa melawat tempat kelahiran. Dia mengumpulkan dahan-dahan hijau yang cantik sepanjang perjalanannya dan membawanya ke gereja. Walaupun dihina oleh kanak-kanak lain, apabila daun-daun tersebut diletakkan pada palungan, kuntuman bunga berbentuk bintang muncul pada setiap cabang,
Kad Krismas
Tradisi menghantar kad Krismas bermula pada tahun 1843 – kira-kira sama tahun cap Krismas yang pertama diperkenalkan. Kad Krismas yang pertama dikeluarkan di England, dan idea ini mendapat sambutan kerana pada tahun seterusnya, lebih daripada 25,000 kad Krismas dijual. Walaubagaimanapun, kad Krismas yang pertama menimbulkan kontroversi di sekitar England kerana kad tersebut meletakkan gambar sekumpulan orang memegang gelas dan berkata 'Merry Christmas'.
Hadiah Krismas
Amalan memberi hadiah kepada ahli keluarga dan sahabat handai pada hari istimewa kemungkinan bermula pada zaman Rom dan Eropa Utara kuno. Masyarakat di kawasan ini saling memberikan hadiah sebagai sebahagian daripada perayaan hujung tahun mereka.
Di U.S dan England, kanak-kanak menggantungkan stoking mereka di tepi katil atau berhampiran dengan pendiang pada malam Krismas, dengan harapan stoking tersebut akan dipenuhi hadiah pada pagi berikutnya. Di Skandinavia, kanak-kanak yang berfikiran seperti itu meletakkan kasut mereka berhampiran dengan perapian. Tradisi ini berkaitan dengan legenda St. Nicholas.
Merry Xmas
Xmas merupakan singkatan kepada Krismas. Singkatan ini diterbitkan daripada perkataan ΧΡΙΣΤΟΣ, dituliskan sebagai Christos yang bermaksud Kristus dalam bahasa Greek. Pada mulanya, Χmas merupakan singkatan dimana Χ mewakili huruf chi dalam bahasa Greek, yang juga huruf pertama nama Kristus (Christ). Walaubagaimanapun, disebabkan oleh tafsiran moden kepada huruf X, ramai orang tidak menyedari perkara ini dan mengandaikan singkatan ini bermaksud membuang Yesus daripada Krismas.