Selamat datang ke Laman Web Kelab Penerbitan dan Penyiaran (KP&P) Gereja SDA Parapat Darat

NEWS

Laman web ini boleh dicapai melalui alamat: http://parapatkpnp.co.cc atau www.parapatkpnp.blogspot.com

MALAM PENGHAYATAN CHRISTMAS 2008

Christmas pada tahun 2008 disambut dengan cara yang berbeza daripada cara sambutan pada tahun-tahun sebelumnya. Konsep sambutan berdasarkan Alkitab diketengahkan iaitu tanpa perhiasan Christmas yang biasa seperti pokok Christmas, belon, Santa Claus dan perhiasaan lain. Sebagai ganti, Dewan Serbaguna SDA Parapat dihiasi dengan rumput, bintang-bintang dan sebuah kandang. Malam 24 Disember dipilih sebagai tarikh pelaksanaan program Penghayatan Christmas kerana tarikh ini sudah menjadi kebiasaan untuk menyambut Christmas di gereja kita disamping membolehkan anggota-anggota gereja mengunjungi saudara-saudara di gereja lain pada 25 Disember.

Pot Luck

Program yang berlangsung sekitar jam 8.30 malam ini dimulakan dengan acara makan bersama (pot luck). Pelbagai jenis makanan dihidangkan menunjukkan kemurahan hati anggota-anggota untuk mengongsikan berkat-berkat melalui makanan, khususnya semasa acara istimewa ini.

Majlis Perpisahan Pr. Matiun Alip

Selesai dengan acara makan bersama, acara Majlis Perpisahan Pr. Matiun Alip diadakan. Acara khas ini diadakan untuk menghargai jasa-jasa beliau sepanjang melayani di daerah Sikuati dan khususnya di Gereja SDA Parapat. Gambar-gambar beliau termasuk yang melibatkan gereja turut dipaparkan sementara pengacara untuk majlis berkenaan, Sdr. Yusevender mengajak semua hadirin memperingati jasa-jasa Pr. Matiun. Semasa majlis itu juga, Eld. Ronald menyatakan penghargaan daripada pihak gereja melalui ucapan dan seterusnya menyampaikan cendera kenangan kepada Pr. Matiun. Semasa majlis itu, keadaan kesihatan Pr. Matiun kurang baik tetapi beliau tetap sempat memberi ucapannya. Banyak perkara yang terkandung dalam ucapan beliau, antaranya ialah beliau berharap anggota-anggota gereja di Parapat terus bersatu. Ucapan beliau mengakhiri majlis tersebut.

Program Malam Penghayatan Christmas

Kira-kira jam 9.30 malam, Program Malam Penghayatan Christmas dimulakan dengan taklimat mengenai program tersebut oleh Cik Neldy selaku pengarah projek program tersebut. Lagu 'Di Dalam Palungan' yang dinyanyikan oleh R.S Aldermaye membuka tirai program malam tersebut diikuti dengan lakonan bahagian pertama 'Janganlah Takut'. Babak ini menggambarkan bagaimana reaksi Maria semasa malaikat memberitahunya mengenai bakal kandungannya.

Malam Penghayatan Christmas itu terdiri daripada empat bahagian yang diselang-selikan dengan acara tukar hadiah yang dikendalikan oleh Cik Nodli sebagai pengacara serta dibantu oleh Cik Daty dan Cik Erviana. Kesemua bahagian melibatkan lakonan dan nyanyian serta sajak yang menggambarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa kelahiran Yesus. Selain itu presentation mengenai sejarah Christmas dan pendirian Seventh-Day Adventist turut dikongsikan.

Program tersebut berakhir pada kira-kira jam 11 malam dengan doa yang dilayangkan oleh Eld. Ronald.




Berikut merupakan sedikit petikan mengenai tujuan dan matlamat Program tersebut:

Saban tahun kita menyambut Christmas bagi memperingati Sang Juruselamat yang lahir ke dalam dunia ini. Walaupun kita bersama-sama dengan umat Kristian yang lain menyambut Hari Christmas namun kita tidak mengakui 25 Disember sebagai tarikh lahir Kristus.

Malam Penghayatan Krismas merupakan suatu program memperingati Christmas dengan menggunakan pendekatan rohani. Anggota gereja khususnya di gereja SDA Parapat Darat berpeluang menyambut Christmas dan memperingati suatu titik permulaan pelayanan istimewa Yesus di dalam dunia ini.

Selain itu, program ini memberi pendedahan mengenai sejarah perayaan Christmas dan pemilihan 25 Disember. Pendedahan ini membolehkan anggota-anggota memahami pendirian gereja Seventh-Day Adventist mengenai Christmas.

OBJEKTIF

i. Memperingati kelahiran Yesus ke dalam dunia ini.

ii. Menghayati makna sebenar Christmas dalam kehidupan rohani anggota.

iii. Mendedahkan sejarah Christmas dan memberi pemahaman mengenai pendirian gereja Seventh-Day Adventist mengenai Christmas.

iv. Mengukuhkan hubungan antara anggota.

v. Mengasah bakat-bakat belia yang mengambil bahagian dalam melaksanakan program ini.

(Sumber: Kertas Kerja Program Malam Penghayatan Christmas 2008)