Pada 12- 16 & 18 Dis yang lalu, Persatuan Belia Advent bersama dengan Pelayanan Muzik Gereja SDA Parapat melaksanakan program Caroling. Program yang bertujuan memberitakan khabar baik sempena Krismas ini telah melibatkan lebih daripada 25 orang peserta belia gereja SDA Parapat.
Walaupun masa latihan agak terhad dan banyak kesibukan yang menghalangi namun program ini tetap dilaksanakan bagi memberi peluang kepada belia-belia untuk bersaksi. Selama empat malam, belia-belia ini telah mengunjungi saudara-saudara yang berada di Kg. Parapat Darat, Rukom, Kandawayon, Dualog, Kumbatang, Lajong dan juga SMK Sikuati II.
Semasa kunjungan, kumpulan Caroling ini akan mengongsikan sebuah lagu Krismas, melayangkan doa untuk keluarga tersebut, dan seterusnya menyanyikan lagu We Wish You A Merry Christmas. Lagu-lagu yang menjadi pilihan untuk dikongsikan kepada keluarga yang dilawati ialah Dengar Malaikat Nyanyi, Malam Sunyi Malam Suci, Kesukaan Bagi Dunia, Siar Di Atas Gunung, dan Dengar! Malaikat Puji Raja. Kumpulan ini juga memberikan sekeping penanda buku yang mempunyai ayat Alkitab sebagai buah tangan kepada tuan rumah dan keluarganya.
Ada beberapa ahli kumpulan seperti Cleeney, Felzriana, Farrah dan Charmanie merupakan pertama kali menyertai Caroling dan menganggap pengalaman mengunjungi rumah-rumah sebagai pengalaman manis mereka. Sementara itu, bagi ahli lain terutamanya yang lebih senior seperti Neldy, Dlfon dan Redoline, Caroling pada kali ini merupakan sesuatu yang mencabar kerana hanya pada malam pertama mereka ditemani oleh peserta veteran. Malam seterusnya, mereka bertanggungjawab menjaga adik-adik yang lebih muda. Walaubagaimanapun, syukur dipanjatkan ke hadirat Allah kerana tidak berlakunya sebarang perkara tidak diingini dan program ini dapat disempurnakan tanpa gangguan yang serius contohnya cuaca yang baik sepanjang program ini.
Kumpulan Caroling ini juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga-keluarga yang telah menerima kehadiran mereka. Semoga Christmas kali ini membawa makna yang sangat berharga, terlebih dalam penantian kepada kedatangan Kristus kita yang kedua kali.