22 Jun 2008
SIMPANG MENGAYAU: Perkelahan yang direncanakan pada 22 Jun 2008 telah ditunda ke hari yang belum ditentukan. Angin kencang serta hujan yang melanda daerah Kudat menyebabkan acara anjuran Jabatan Sukan dan Rekreasi ini terpaksa dibatalkan.
Walaubagaimanapun, keadaan pada hari Ahad tersebut tidak mematahkan semangat beberapa orang anggota gereja yang sememangnya sudah lama menanti acara seperti ini. Encik Lisah, seorang anggota gereja seterusnya mencadangkan kepada keluarga beliau untuk berkunjung ke mana-mana pantai. Setelah menghubungi keluarga terdekat yang lain, menjelang jam 4 petang mereka telah berada di bahagian kanan Simpang Mengayau. Beberapa keluarga lain seperti Keluarga Marantun, Keluarga Joseph, Keluarga Yusevender dan beberapa anggota yang lain telah menyusul selepas itu.
Walaupun tiada acara istimewa yang dijalankan seperti sukaneka atau mandi- manda tapi kunjungan pada petang tersebut memberikan ketenangan dan kepuasan kepada semua yang menyertai. Elder Joseph dalam ucapan ringkasnya meluahkan rasa bersyukur dengan ikatan kekeluargaan di antara anggota kerana kegembiraan pada petang itu dikongsi bersama-sama. Beliau juga berharap perkelahan yang pasti dilaksanakan kelak akan mendapat sambutan daripada semua anggota dan ramai yang akan menyertai. Doa yang dilayangkan oleh beliau mengakhiri pertemuan tersebut pada jam 6.30 petang.