Selamat datang ke Laman Web Kelab Penerbitan dan Penyiaran (KP&P) Gereja SDA Parapat Darat

NEWS

Laman web ini boleh dicapai melalui alamat: http://parapatkpnp.co.cc atau www.parapatkpnp.blogspot.com

Caroling 2008 Penyampai Salam Sempena Christmas


Pada 12- 16 & 18 Dis yang lalu, Persatuan Belia Advent bersama dengan Pelayanan Muzik Gereja SDA Parapat melaksanakan program Caroling. Program yang bertujuan memberitakan khabar baik sempena Krismas ini telah melibatkan lebih daripada 25 orang peserta belia gereja SDA Parapat.

Walaupun masa latihan agak terhad dan banyak kesibukan yang menghalangi namun program ini tetap dilaksanakan bagi memberi peluang kepada belia-belia untuk bersaksi. Selama empat malam, belia-belia ini telah mengunjungi saudara-saudara yang berada di Kg. Parapat Darat, Rukom, Kandawayon, Dualog, Kumbatang, Lajong dan juga SMK Sikuati II.

Semasa kunjungan, kumpulan Caroling ini akan mengongsikan sebuah lagu Krismas, melayangkan doa untuk keluarga tersebut, dan seterusnya menyanyikan lagu We Wish You A Merry Christmas. Lagu-lagu yang menjadi pilihan untuk dikongsikan kepada keluarga yang dilawati ialah Dengar Malaikat Nyanyi, Malam Sunyi Malam Suci, Kesukaan Bagi Dunia, Siar Di Atas Gunung, dan Dengar! Malaikat Puji Raja. Kumpulan ini juga memberikan sekeping penanda buku yang mempunyai ayat Alkitab sebagai buah tangan kepada tuan rumah dan keluarganya.

Ada beberapa ahli kumpulan seperti Cleeney, Felzriana, Farrah dan Charmanie merupakan pertama kali menyertai Caroling dan menganggap pengalaman mengunjungi rumah-rumah sebagai pengalaman manis mereka. Sementara itu, bagi ahli lain terutamanya yang lebih senior seperti Neldy, Dlfon dan Redoline, Caroling pada kali ini merupakan sesuatu yang mencabar kerana hanya pada malam pertama mereka ditemani oleh peserta veteran. Malam seterusnya, mereka bertanggungjawab menjaga adik-adik yang lebih muda. Walaubagaimanapun, syukur dipanjatkan ke hadirat Allah kerana tidak berlakunya sebarang perkara tidak diingini dan program ini dapat disempurnakan tanpa gangguan yang serius contohnya cuaca yang baik sepanjang program ini.

Kumpulan Caroling ini juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga-keluarga yang telah menerima kehadiran mereka. Semoga Christmas kali ini membawa makna yang sangat berharga, terlebih dalam penantian kepada kedatangan Kristus kita yang kedua kali.


SEKOLAH SABAT

Sebaik sahaja acara sekolah sabat ke-13 berakhir, bermaksud kita sudah melalui satu triwulan atau kuarters untuk tahun berkenaan. Pernahkah anda bertanya, "Apakah yang saya sudah pelajari selama 13 sabat yang lalu?" .
Bagaikan sebuah sekolah kita telah disediakan dengan 13 pelajaran yang akan kita pelajari sepanjang 3 bulan. Pelajaran-pelajaran tersebut bukan sahaja merangkumi segala sisi kehidupan tetapi juga diterbitkan mengikut keperluan rohani umat Advent seluruh dunia. Kita juga bertuah kerana setiap peringkat pertumbuhan memiliki satu sekolah sabat yang bersesuaian dengan umur masing-masing. Sekolah Sabat Primary contohnya dikhaskan untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun. Orang dewasa juga mempunyai pelajaran khas.
Menariknya, pelajaran yang kita pelajari tidak terbatas kepada satu bahasa sahaja. Setiap hari Sabat akan ada lebih daripada beribu-ribu orang yang akan mempelajari pelajaran yang sama tanpa mengira taraf ekonomi, bangsa atau bahagian. Jadi, apabila kita menghadiri gereja Seventh-Day Adventist di tempat lain pada hari Sabat kita masih menggunakan buku yang sama cuma penyampaian dan cara yang berbeza.
Persoalannya, dimanakah isi kandungan pelajaran-pelajaran berkenaan diambil terutamanya pelajaran sekolah sabat dewasa. Segalanya dari Alkitab dan diulas oleh para pakar teologi SDA. Mungkin kita pernah mendengar orang mengatakan apabila seseorang dapat menghabiskan 3 tahun pelajaran Sekolah Sabat Dewasa, dia akan sama dengan pemegang ijazah teologi. Pendapat tersebut mempunyai kebenaran dan merupakan berkat yang kita terima sejak Sekolah Sabat diperkenalkan.
Syukur Tuhan memberikan satu alat yang sangat berharga ini dalam pertumbuhan rohani kita. Sementara kita menganalisis dan membincangkan satu persatu pelajaran, mari kita bersama-sama mengambil keputusan untuk menyimpan kolesksi pelajaran Sekolah Sabat. Siapa tahu kita akan memerlukannya pada masa akan datang sebagai rujukan ataupun untuk dikongsikan kepada orang lain. En. Lisah, mantan Ketua Gereja SDA Parapat turut merasakan perkara yang sama dengan itu dia telah berusaha mengumpul sekolah sabat sejak tahun 1989.


Gambar: Antara koleksi Sekolah Sabat Dewasa En. Lisah Angantal

PERKELAHAN DITUNDA, SIMPANG MENGAYAU JADI PENAWAR

22 Jun 2008

SIMPANG MENGAYAU: Perkelahan yang direncanakan pada 22 Jun 2008 telah ditunda ke hari yang belum ditentukan. Angin kencang serta hujan yang melanda daerah Kudat menyebabkan acara anjuran Jabatan Sukan dan Rekreasi ini terpaksa dibatalkan.

Walaubagaimanapun, keadaan pada hari Ahad tersebut tidak mematahkan semangat beberapa orang anggota gereja yang sememangnya sudah lama menanti acara seperti ini. Encik Lisah, seorang anggota gereja seterusnya mencadangkan kepada keluarga beliau untuk berkunjung ke mana-mana pantai. Setelah menghubungi keluarga terdekat yang lain, menjelang jam 4 petang mereka telah berada di bahagian kanan Simpang Mengayau. Beberapa keluarga lain seperti Keluarga Marantun, Keluarga Joseph, Keluarga Yusevender dan beberapa anggota yang lain telah menyusul selepas itu.

Walaupun tiada acara istimewa yang dijalankan seperti sukaneka atau mandi- manda tapi kunjungan pada petang tersebut memberikan ketenangan dan kepuasan kepada semua yang menyertai. Elder Joseph dalam ucapan ringkasnya meluahkan rasa bersyukur dengan ikatan kekeluargaan di antara anggota kerana kegembiraan pada petang itu dikongsi bersama-sama. Beliau juga berharap perkelahan yang pasti dilaksanakan kelak akan mendapat sambutan daripada semua anggota dan ramai yang akan menyertai. Doa yang dilayangkan oleh beliau mengakhiri pertemuan tersebut pada jam 6.30 petang.

SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-2 KP&P DI MARINA RESORT

14 Jun 2008

KUDAT: Kelab Penerbitan dan Penyiaran (KP&P) mengadakan makan malam (dinner) pada 14 Jun yang lalu. Acara yang dilangsungkan di Marina Resort, Kudat ini bertujuan meraikan Ulang Tahun Kedua kelab berkenaan. Seramai 30 orang termasuk beberapa rakan-rakan bukan ahli memeriahkan sambutan tersebut.

Penganjur acara tersebut, Yusevender Peter dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada semua ahli KP&P yang juga merupakan wartawan Berita Gereja Parapat (BGP) atas segala usaha yang diberikan selama ini. Beliau yang juga Pengarah KP&P sejak ditubuhkan, mengucapkan tahniah kerana kelab tersebut berjaya melakukan banyak perkara sehingga sampai ke tahap sekarang ini. Rakan-rakan bukan ahli turut tidak dilupakan kerana banyak membantu dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Sementara itu, pengacara majlis pada malam tersebut Cik Nelly Rita mengajak hadirin untuk mengingati kembali detik-detik penubuhan serta aktiviti yang telah dijalankan oleh KP&P melalui video Imbasan KP&P. Selepas acara pemotongan kek simbolik rasminya usia dua tahun KP&P, doa makan dilayangkan oleh Cik Lukina Bilik.

Majlis itu juga merupakan majlis perpisahan kepada beberapa orang ahli yang akan meninggalkan daerah Kudat iaitu Elvyvaviana Daniel (B-bee) serta Feldenah Jepin (E-la) dan Redoline Peter (O-kok) yang tidak sempat hadir pada malam tersebut. Walaubagaimanapun mereka masih merupakan ahli KP&P dan beberapa tenaga baru diumumkan dalam memperkembangkan lagi operasi kelab. Ahli-ahli yang baru dilantik ialah Elney Viviana Daniel (Girl), Joyner Kennedy Joseph (JDK) dan Effa Zila Lukiam (E-Mut).

Semoga ahli-ahli KP&P terus bersemangat dalam bidang penerbitan dan penyiaran ini serta sentiasa mendapat sokongan daripada semua anggota gereja. Raja Salomo dalam buku Amsal mencatatkan bahawa berita baik bagaikan air sejuk bagi jiwa yang dahaga (Amsal 25:25). Tuhan Memberkati!

KP&P MENGUNJUNGI KELUARGA TUHAN DI GEREJA BARAMBANGON


24 Mei 2008

Parapat: 12 orang ahli Kelab Penerbitan dan Penyiaran(KP&P) telah mengunjungi Gereja SDA Barambangon yang terletak di daerah Kudat. Kunjungan tersebut merupakan lawatan yang ke-3 sejak penubuhan KP&P.
Selain bergabung dalam perbaktian Hari Sabat, KP&P juga mengongsikan 5 buah lagu yang dinyanyikan semasa Kebaktian Ke-2. Lagu yang dinyanyikan ialah Above All, Dia Buka Jalan, How Precious You Are To Me (Arieona June Ronald), Betapa Hatiku, dan I will Trust In You. Sementara itu, pengarah KP&P En. Yusevender Peter telah menyampaikan sebuah khotbah yang bertajuk Meterai Allah.
Kunjungan ini bukan sahaja menjadi pengalaman manis kepada ahli-ahli KP&P tetapi juga menyentuh hati para anggota di gereja tersebut. Mereka menyatakan kerinduan untuk selalu dikunjungi seperti hari Sabat berkenaan. Bagi pihak KP&P adalah menjadi kegembiraan berpeluang bersahabat dengan saudara-saudara seiman.
Selepas acara kebaktian ke-2, ahli-ahli KP&P telah menikmati makan tengah hari bersama-sama di dalam bangunan kelas kanak-kanak gereja SDA Barambongan. Kelewatan KP&P untuk memaklumkan kunjungan ini kepada anggota gereja berkenaan menyebabkan mereka tidak dapat menyertai makan bersama tersebut.

HARI DOA WANITA SEDUNIA

12 April 2008
Parapat: Acara Hari Doa Wanita Sedunia telah dijalankan pada hari di gereja SDA Parapat Darat. Tema yang dipilih kali ini ialah 'Pada Waktu Pagi' dan diadakan pada Kebaktian Kedua. Semua tugas telah diambil alih oleh Pelayanan Wanita dan Koir Pelayanan Wanita turut menyumbangkan lagu Kuharap Pada-Mu(LPMI 40) sebagai lagu istimewa.
Apa yang menarik ialah sebuah sajak telah dikongsikan oleh Saudari Nancy Sitang sempena acara pada hari ini. Selepas sajak "Seseorang Sedang Berdoa Kepada-Mu' diperdengarkan, Saudari Norsa Lisah telah menyampaikan sebuah khotbah yang bertajuk 'Pada Waktu Pagi'.

SABAT KE-13 TRIWULAN PERTAMA TAHUN 2008

29 Mac 2008

Parapat: Anggota Gereja Parapat sekali lagi dihidangkan dengan ayat-ayat dan lagu lagu yang dibawakan oleh kanak-kanak. Seperti Sabat ke-13 yang lepas-lepas, belia-belia mengenakan pakaian seragam kelab masing.

Dalam acara kebaktian pada Sabat tersebut Pr. Matiun Alip yang juga merupakan pastor daerah Sikuati telah mengongsikan sebuah khotbah yang bertajuk 'Keselamatan yang Kekal'. Beliau telah memetik beberapa ayat dari Alkitab iaitu ayat dalam Roma 6:23, 1 Petrus 1:24-25 dan Matius 16:24.

Pada sebelah petang pula, anggota-anggota gereja telah meluangkan masa untuk menyokong Penginjilan Utara Sabah (PUS) dengan menghadiri Pesta Puji-pujian yang diadakan di Gereja SDA Kudat. Banyak kumpulan yang telah mengongsikan lagu-lagu pada petang tersebut antaranya iHP Singers dan Male Chorus Gereja SDA Parapat. iHP Singers merupakan sebuah kumpulan yang baru dan dianggotai oleh 10 ahli setakat ini. Gabungan penyanyi dari sekitar daerah Kudat ini telah menyampaikan lagu 'Daystar' dan 'Salib di Bukit Golgota'. (Layari laman web iHP Singers untuk maklumat lanjut tentang kumpulan ini di http://ihpsingers.blogspot.com)

iHP Singers sedang mempersembahkan lagu

23 Mac 2008

PARAPAT: 28 peserta dari Gereja SDA Parapat Darat selamat sampai ke daerah Kudat. Walaupun penat, mereka tidak menyesal kerana mengikuti Bible Camp yang baru berakhir. Pastinya pengalaman yang mereka perolehi selama beberapa hari di Pantai Dantai akan menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Peserta yang pernah menyertai Camp ini pada tahun sebelumnya menyatakan Camp pada tahun lebih 'happening', 'enjoy' dan lebih menyeronokkan. Manakala mereka yang baru pertama kali menyertai mengatakan 'enjoy' dan 'syiok'.

Tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian dan tahniah kepada mereka yang lulus Ujian.

Tuhan memberkati Anda.

20-23hb Mac 2008

Belia SDA Parapat menyertai Bible Camp ke-4 '08 di Tapak Perkhemahan Adventist Dantai, Kota Belud.